Khamis, 3 Mac 2011

SALAHKAH AKU CANTIK


Seperti biasa aku berjalan ke kedai runcit, memakai baju kurung yang baru dibeli. Nak beli tepung dan telur untuk buat kuih esok. Dengan hasil kuih itulah aku beli pakaian dan alat mekap aku. Sedang aku berjalan tu, ada 4 kutu berahak sedang melepak dekat pintu pagar sekolah. Untuk menjaga maruah aku, aku tundukkan muka.
“ Zaharah......nak kemana tu”
“Baju kurung baru nampak”
Tiba-tiba kedengaran suara manja-manja dibuat. Aku tidak pedulikan, kerana mereka memang suka mengganggu aku.
“ Alahai sombongnya Zaharah” suara lain pula berbunyi
Aku lajukan langkahku,biar lepas dari pandangan mereka.
“ Nak abang temankan ke” sahut kutu berahak yang lain.
Aku tidak peduli, kulajukan lagi langkahku. Tanpa menoleh kebelakang, aku tahu mereka sudah jauh. Nasib baik mereka tidak ikut aku.
Sampai sahaja di kedai,Pak Cik Karim pula yang memandang aku. Pandangan matanya sangatlah aku tak suka. Aku pun terus meminta tepung dan telur. Pak Cik Karim melangkah sambil menjeling pada aku. Dia masukkan tepung dan telur ke dalam plastik.
“ 10 ringgit jer Zaharah” manja mengada ucapan Pak Cik Karim.
Aku hulurkan duit sambil tundukkan muka. Tersentak aku bila tangan aku dipegang Pak Cik Karim. Tak sangka pula Pak Cik Karim berani pegang tangan aku, cepat-cepat aku tarik tangan aku. Tak padan pakai kopiah, tapi perangai begini.
Aku melangkah keluar dari kedai. Apa yang penting, aku perlu sampai ke rumah segera. Janganlah ada yang mengganggu aku lagi.
“ Kalau betullah awak nak tambah isteri, saya boleh pinangkan. Tapi bukan si Zaharah tu”
Kedengaran suara Mak Limah,isteri Pak Cik Karim. Aku terus melangkah, biarlah apa yang Mak Limah nak kata.
Setelah jauh dari kedai Pak Cik Karim, datang budak-budak motor. Mereka bersiul-siul sambil membuat aksi masing-masing. Kali ni memang aku kena lajukan langkah aku, mereka memang berani buat apa-apa sahaja. Mereka berpusing-pusing mengelilingi aku, aku tak boleh melangkah lagi. Aku semakin takut.
Tiba-tiba mereka berhenti, aku terkepung oleh mereka. Hanya Tuhan yang tahu betapa takutnya aku ketika itu. Mereka cuba sentuh pipi aku.
“ Naiklah motor abang,biar abang hantarkan Zaharah balik”
Ujar salah seorang dari mereka. Aku tidak peduli, aku tundukkan muka. Tiba-tiba pinggang aku di peluk dari belakang. Ya Allah.....
“ Lepaskan aku” jerit aku sambil memukul mereka dengan plastik telur dan tepung.
Telur sudah pecah, mereka mula menjauhkan diri dari aku.
“ Sedarlah diri kamu tu. Balik cermin muka kamu tu” jerit salah seorang dari mereka
Mereka tinggalkan aku. Aku menangis tak tertahan. Sambil aku berjalan balik ke rumah dengan tangan kosong. Apalah salah aku, mengapa orang kampung melayan aku begini.
Kebetulan aku sampai di rumah, ibu aku berada di tangga. Terus dia memeluk aku dan memujuk aku. Aku melangkah masuk ke dalam rumah, bapaku memandang dengan mata bengis. Bapa aku sendiri pun melayan aku begini. Hanya ibulah tempat aku bermanja dan meluahkan rasa. Aku masuk ke bilik aku, ibuku terus mengikut sambil memujuk aku. Aku peluk teddy bear yang berada di tengah-tengah katil.
“ Apa salah saya mak. Kenapa orang kampung layan saya begini mak” ujarku pada ibuku.
“ Memang salah. Kalau boleh aku sendiri nak tembak kamu” tengking bapaku tiba-tiba.
Makin pedih aku rasakan. Sanggup seorang bapa berkata begitu terhadap anaknya. Bapaku manyambung lagi.
“ Apa nak jadi dengan kamu ni Zahari, dahlah kamu seorang jer anak aku. Lelaki dah macam perempuan”
Raungan aku semakin kuat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan