Sabtu, 26 Mac 2011

BISIKAN HATI

"KATAK" jerit Azlin.
Sekaligus bilik kelas tingkatan 4 Damai menyambut dengan gelak tawa pelajar lelaki,pelajar perempuan pula menjerit lari. Masing-masing dengan reaksi tersendiri. Tidak tersangka dalam sedang mereka bergembira menyambut hari lahirnya, ada orang yang ingin membuat aniaya. Terus dia menjeling ke arah Radzi, dilihatnya Radzi sedang tergelak-gelak. Sudah pasti tiada orang lain yang akan melakukan benda begini. Radzi memang suka mengganggunya, sejak dari darjah 5 hinggalah sekarang. Entah kenapa setiap tahun mereka terpilih untuk berada di kelas yang sama.
"Tak puas lagi ke kamu ganggu aku Radzi" teriak Azlin. Air matanya mula menitis
Suasana kelas mula masih riuh dengan gelak tawa pelajar lelaki. Azlin terus keluar dari kelas. Terasa seperti katak tadi masih melekat di tangannya. Sampai sahaja di tandas dia terus membasuh tangan sambil menitiskan air mata. Dalam hatinya sentiasa mencaci-caci Radzi, setiap hari dia tidak pernah terlepas dari jadi bahan usikan Radzi.
"Satu hari nanti akan ku balas" bisikan hati Azlin.
Sambil melangkah semula ke kelasAzlin menyapu air matanya dengan perlahan-lahan sambil menenangkan hati. Suasana kelas telah senyap, mungkin Cikgu Zul telah masuk mengajar.
"Assalamualaikum" ucap Azlin sambil mengetuk pintu.
"Wa`alaikummussalam" Jawab Cikgu Zul sambil menjeling ke arah Azlin.
Azlin terus ke tempat duduknya, sambil menjeling ke arah Radzi. Radzi berpaling ke arahnya dan tersenyum, terus Azlin berpaling ke arah kerusinya.
"Kalau ya pun kamu sambut hari lahir dalam kelas, janganlah sampai kelas ni macam kena ribut" Lantang suara Cikgu Zul.
"Bising mengalahkan tadika pula" sambungnya lagi.
Siapa tak kenal Cikgu Zul Singa, guru paling garang di sekolah. Azlin berpaling ke arah Radzi,Radzi masih tersenyum memandangnya. Kelas Cikgu Zul bermula tanpa satu suara dari pelajar. Suasana tersebut berterusan sehingga waktu balik.
Sampai sahaja di rumah, Azlin terus masuk ke biliknya. Dia masih teringatkan perbuatan Radzi di sekolah tadi. Terus dia capai majalah remaja di mejanya, terus dia menyelak-nyelak majalah tersebut. Jarinya terhenti setelah berada di ramalan bintang zodiak. Tidak pernah dia membaca ruangan tersebut, lalu matanya perlahan-lahan membaca bintang Leo. Entah kenapa tiba-tiba dia tertarik untuk membacanya. Sampai di satu bahagian membuatkan Azlin tersenyum sendirian, bagaimana pertemuan pertama dengan kekasih. Ianya mencadangkan agar bintang Leo duduk di satu tempat yang menjadi laluan orang ramai.
"Apa salahnya aku mencuba" bisik hatinya.
Menjelang hari minggu Azlin keluar sendirian, malu jikalau kawan-kawannya tahu apa yang dia akan lakukan. Azlin pergi ke kedai serbaneka untuk membeli barang untuk belajar dan juga sebotol air. Sambil berjalan dia meninjau-ninjau tempat yang sesuai untuk duduk. Sehinggalah dia terjumpa satu tempat yang berada di depan pasaraya besar. Tanpa berfikir panjang dia terus duduk dan mengeluarkan air minuman dan novel untuk di jadikan alasan dia duduk di situ.
Setelah setengah jam dia duduk, hatinya mula merasa tidak selesa. Ramai yang lalu di hadapannya berbisik-bisik sambil menjeling ke arahnya.
"Bodohnya aku buat benda tanpa berfikir" bisik hatinya penuh sesalan.
"Kamu buat apa Azlin" tegur satu suara yang sangat Azlin kenali.
Terus dia mendongak untuk mengasahkan telahannya, memang benar Radzi berada di depannya. Terus dia tertunduk, dia sudah mula terbayang Radzi akan tergelak dan menceritakan ke seluruh kelas. Cerita itu pasti akan tersebar ke seluruh sekolah.
"Tengah baca novel" jawab Azlin besahaja. Terus dia mengambil minuman untuk menghilangkan rasa gugupnya.
"Rupanya kamu yang orang ramai kata pelik tu"ujar Radzi.
Menggelabah Azlin mendengarnya. Sudah pasti akan heboh di sekolah esok.
"Jangan kacau akulah Radzi" balas Azlin untuk menutup malunya.
Tiba-tiba Radzi duduk di sebelahnya. Azlin menjeling marah untuk melindungi perasaan malunya.
"Mungkin kalau kita duduk berdua, orang tak kata pelik" ujar Radzi perlahan.
Tiada senyum nakal pada bibirnya. Azlin terdiam, niatnya untuk marah hilang begitu sahaja. Azlin terus membaca novel di tangannya, dalam hatinya mula berbisik.
"Kenapa Radzi hari ini tidak seperti biasa"
Lima minit kemudian Azlin menutup novel di tangannya, terus dia bangun dan mencapai botol minumannya.
"Aku pergi dulu" ujar Azlin seraya berlalu.
"Baiklah" Angguk Radzi seraya bangun.
"Takkanlah Radzi yang bakal jadi kekasih aku" bisikan hati Azlin sambil tersenyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan